Terima kasih atas kunjungan anda
KOTA KINABALU 9 Mac - Kerajaan negeri menetapkan hari Sabtu pertama bulan Oktober setiap tahun sebagai tarikh baru sambutan hari jadi rasmi Yang Dipertua Negeri.
Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Sukarti Wakiman berkata, tarikh baru tersebut dibuat memandangkan tarikh sambutan hari jadi berkenaan sama dengan tarikh sambutan Hari Malaysia pada 16 September.
"Selaras dengan itu, tarikh sambutan hari jadi rasmi Yang Dipertua Negeri bagi tahun ini ialah pada 2 Oktober," katanya dalam kenyataan akhbar di sini hari ini.
Sebelum ini, hari jadi Yang Dipertua Negeri Sabah disambut pada 16 September setiap tahun.
Bagaimanapun pada 19 Oktober tahun lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan ulang tahun sambutan Hari Malaysia pada 16 September diisytiharkan sebagai cuti umum di seluruh negara bermula tahun ini.
Keputusan itu yang dibuat oleh Jemaah Menteri itu bertujuan mengingati sejarah penubuhan Malaysia pada 16 September 1963.
Menurut Najib, ini bermakna mulai tahun ini, rakyat akan merayakan dua hari kebangsaan secara berkembar iaitu Hari Kemerdekaan dan Hari Malaysia.
Tambah beliau, menerusi Hari Malaysia, kerajaan mahu suka duka rakyat di Sabah dan Sarawak selepas mereka membuat keputusan untuk menyertai Malaysia sejak 1963 turut dirasai penduduk di Semenanjung











